PERSATUAN KANAK-KANAK ISTIMEWA HULU LANGAT (PKKI)

Puan Nulida Ab. Aziz, ibu kepada Mohamed Hariz bin Mohamed Azri

Mohamed Hariz telah dilahirkan pada 15hb Januari 2001 dan semasa beliau berusia 3 tahun beliau telah dikenal pasti mempunyai kecacatan yang dikenali sebagai "Attention Deficit Hyperactivity Disorder" atau secara ringkasnya ADHD.

Beliau mula menjalani "Early Intervention Programme" (EIP) di Pusat Kanak-Kanak Istimewa cawangan Cheras bermula pada bulan Febuari 2004. Beliau disedari mengidap ADHD setelah didapati tiada perkembangan dari segi komunikasi atau percakapan. Beliau juga terlalu aktif dan mempunyai fokus permerhatian yang terlalu lemah.

Beliau belum pandai menyebut sebarang perkataan, walaupun telah berusia hampir 4 tahun dan di sebabkan beliau aktif, beliau mempunyai masalah untuk duduk diam dan menumpukan perhatian terhadap apa yang cuba diajar kepada beliau.


At EIP with Cikgu Mariana

Salah satu aktiviti di dalam EIP ialah sesi berkumpul dan menyanyi lagu-lagu nuseri. Beliau tidak menyukai aktiviti sedemikian dan sering menangis apabila menjalani sesi tersebut. Di samping itu juga disebabkan tiada penumpuan pemerhatian, beliau mempunyai masalah untuk mengenal bentuk, abjad ,warna dan nombor. Kordinasi motor (motor coordination) beliau juga agak tidak lancar, beliau tidak pandai memegang pensil atau gunting dengan betul. Dari segi kemahiran hidup (occupational), beliau tidak pandai memakai baju dan kasut sendiri dan juga masih memakai lampin(diaper).

Tahun ini, telah lebih setahun beliau mengikuti EIP, peningkatan beliau dari segi kemahiran bersosial, berkomunikasi, kordinasi motor dan kemahiran hidup menunjukkan peningkatan yang begitu menggalakkan. Beliau kini pandai memasuki bilik air sendiri bila memerlukan dan beliau juga pandai memakai kasut dan baju sendiri. Beliau boleh duduk diam untuk jangkamasa yang agak panjang dan dapat menghabiskan makanan sendiri di tempat yang sama.Dari segi motor kordinasi, beliau boleh memegang gunting dengan betul dan dapat menggunting dengan baik. Di samping itu juga beliau dapat mewarna tanpa terkeluar daripada garisan sempadan dan beliau juga dapat menulis nombor dan huruf dengan agak baik.

Dari segi fokus pemerhatian beliau juga telah meningkat dengan baik, beliau kini telah mula menunjukkan minat terhadap buku-buku cerita yang bergambar walaupun beliau tidak pandai membaca. Beliau juga sudah mula mengikut menyanyikan lagu-lagi nurseri yang beliau dengar dan suka mengikuti percakapan dan lagak atau aksi (pretend play) yang beliau tengok menerusi kaca telivisyen.

Perkembangan beliau dari segi sosial amat menggalakkan. Beliau kini semakin suka berkawan, walaupun tidak dapat berinteraksi secara normal dengan kawan tersebut. Beliau tidak menunjukkan sikap takut kepada orang yang tidak dikenali (strangers) dan mudah berkawan dengan sesiapa yang mendekati beliau.

Walaupun perkembangan beliau dari segi percakapan amat perlahan, tetapi beliau menunjukkan kemajuan yang agak ketara, di mana beliau kini dapat menyebut beberapa perkataan yang dapat difahami walaupun penyebutannya tidak tepat.

Saya percaya dengan mengikuti program EIP secara lebih intensif (intensive) dan konsisten (consistence) di pusat dapat membantu beliau di masa yang akan datang.